Skuad Malaysia bawah 18 tahun (B-18) bakal berdepan tugas sukar untuk mempertahankan kejuaraan dalam Kejohanan AFF B-18 yang bermula esok di bandar Ho Chi Minh, Vietnam. Malah, skuad negara diundi dalam kumpulan maut bersama pasukan yang kuat seperti Vietnam, Thailand, Australia serta dua lagi pasukan iaitu Singapura dan Kemboja.
Ujian pertama adalah bertemu tuan rumah pada hari esok diikuti aksi dengan Singapura (Jumaat), Kemboja (11 Ogos), Australia (13 Ogos) dan Thailand pada 15 Ogos. Kesemua perlawanan ini berlangsung pada pukul 4.30 petang waktu Malaysia.
Bagaimanapun, ketua jurulatih negara, Brad Maloney menegaskan, beliau tidak mahu terlalu memikirkan tentang misi mempertahankan gelaran dalam kejohanan tersebut sebaliknya mahu lihat bagaimana pemainnya dapat menyesuaikan diri dengan falsafah gaya permainan baharu yang diajar sejak hari pertama mengambil alih daripada bekas jurulatih, Bojan Hodak, lewat Jun lalu.
“Ia satu undian yang sukar tetapi sebaliknya ujian yang sangat baik untuk melihat tahap di mana pemain berada serta memberi gambaran jelas menjelang Kejohanan AFC November ini,” katanya dalam Bernama.
Dalam senarai 23 pemain yang dipilih membawa cabaran negara, 10 pemain adalah pelatih daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) manakala selebihnya merupakan pemain daripada skuad Piala Belia negeri masing-masing. Maloney turut menyenaraikan dua wakil dari Borneo iaitu Mohd Nasip Mohamad Zain (Sabah) dan Alan Lagang Keryer (Sarawak).
Baca: Luqman Hakim Antara 10 Pelatih AMD Dipilih Wakili Negara Dalam Kejohanan AFF B-19
Maloney turut mengakui saingan kali ini lebih sengit kerana semua pasukan telah melakukan persiapan rapi dan mempunyai kekuatan yang tersendiri termasuk Australia yang dibarisi oleh beberapa pemain muda berpengalaman.
“Memang sukar kerana Vietnam adalah pasukan yang kuat serta selaku tuan rumah ia memberi motivasi kepada pasukan itu manakala kebanyakan pemain Australia beraksi dengan kelab liga negara itu serta beberapa pemain pernah beraksi di peringkat senior, ” katanya.
Pada edisi lalu, Malaysia, selaku naib juara sebanyak lima kali, akhirnya muncul juara buat kali pertama selepas menewaskan Myanmar 4-3 di Indonesia.