Ketua jurulatih skuad bawah 16 tahun (B-16) negara, Osmera Omaro melihat terdapat kelebihan yang perlu digunakan sebaiknya oleh anak buah beliau dalam usaha meraih kemenangan pada aksi terakhir peringkat kumpulan Kejuaraan AFF B-16 2022 bertemu Australia, petang ini.

Berbanding Australia yang sudah pun tersingkir daripada persaingan ekoran dua kekalahan sebelum ini, Malaysia mempunyai misi lebih besar dimana memerlukan kemenangan untuk memastikan tempat ke separuh akhir.

Walaupun berhadapan dengan pasukan yang sudah pun dibolosi tujuh gol setakat ini, Osmera tetap melihat Australia mampu memberikan ancaman kerana mereka turun tanpa tekanan.

Osmera
Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAMTV)

Malah, beliau yakin barisan anak buahnya akan tampil dengan cukup bersemangat untuk membawa skuad negara ke separuh akhir sekali gus menghidupkan peluang bagi mengekalkan kejuaraan dimenangi skuad muda negara pada edisi 2019.

“Kita melakukan persiapan seperti biasa. Tentu sekali kita kecewa kerana seri bertemu Myanmar, jadi sekarang kita sedang menggandakan usaha untuk memastikan kerana sekarang kita memerlukan kemenangan pada perlawanan terakhir.”

“Saya boleh janjikan kita akan berusaha bersungguh-sungguh. Pemain akan berjuang sehingga wisel penamat dan kita akan pastikan kita mendapat kemenangan pada perlawanan ini.”

“Kita sudah ‘study’ daripada permainan mereka [Australia] dan kita rasa mungkin akan memiliki kelebihan di beberapa bahagian dan diharapkan kita dapat eksploitasi kelebihan tersebut.”

“Pasukan yang ‘nothing to lose’ ini biasanya bahaya sebab mereka boleh bermain dengan bebas, saya rasa kalau boleh kita perlu pastikan agar tidak dibolosi kerana sekiranya kita bolos, mereka akan membina semangat mereka.”

“Tetapi jika kita dapat menjaringkan gol, kita dapat memberikan tekanan dan asakan kepada mereka mungkin motivasi mereka akan jatuh dan kita boleh mencapai kemenangan,” tambah Osmera lagi.

Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAMTV)

Sementara itu penjaring gol skuad negara ketika bertemu Myanmar, melihat barisan pemain kurang agresif ketika beraksi tempoh hari.

“Persiapan kami adalah lebih fokus kepada intensiti untuk lebih agresif selepas ini kerana itulah yang ‘coach’ mahukan.”

”Hal ini kerana pada perlawanan lepas kami kurang agresif dan ‘work rate’ kami mungkin sedikit rendah. Jadi, untuk perlawanan seterusnya kami akan terus lakukan yang terbaik.”

”Kepada para penyokong Malaysia, tolong doakan kami supaya dipermudahkan segala urusan dan kekal sihat serta cergas di hari perlawanan,” tambah Muhammad Dainei.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Malaysia B-16 melalui pautan dibawah.

AFF B-16 2022: Malaysia, Myanmar Berkongsi Mata

AFF B-16 2022: Malaysia Lakar Kemenangan Ke Atas Kemboja

AFF B-16 2022: Osmera Kecewa Prestasi Anak Buah Ketika Hadapi Myanmar