Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menghargai sumbangan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap kemajuan bola sepak Malaysia.
AFC menerusi Presidennya, Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa menyampaikan ucapan terima kasih terhadap Baginda di atas sumbangan serta komitmen yang diberikan bagi memajukan bola sepak di rantau Asia dan Malaysia sejak beberapa dekad lalu.
“Baginda mencurahkan khidmat menerusi pelbagai kapasiti dalam bola sepak, dan banyak pihak termasuk saya sendiri akan merasakan ketiadaan peranan dan sokongan baginda.
“Kita akan sentiasa menghargai usaha baginda yang tidak mengenal erti penat lelah terhadap pembangunan, pentadbiran profesional dan usaha mempromosi sukan bola sepak,” kata Shaikh Salman dalam kenyataan dikeluarkan pada laman sesawang AFC.
Shaikh Salman juga menzahirkan ucapan tahniah kepada Sultan Abdullah dalam melaksanakan tugas baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16. Beliau turut menyatakan keyakinan Malaysia dan rakyat negara ini akan terus membangun dan maju di bawah pemerintahan Baginda.
“Bola sepak Asia mengucapkan selamat maju jaya kepada Al Sultan Abdullah dalam melaksanakan tugasnya dan semua pihak yakin bahawa Malaysia beserta rakyatnya akan menyaksikan kemajuan serta perkembangan yang ketara apabila berada di bawah pemerintahan Baginda,” tambah Shaikh Salman.
Sultan Abdullah sememangnya terkenal dengan minat yang mendalam terhadap sukan bola sepak. Baginda pernah memegang beberapa jawatan penting dalam AFC antaranya Timbalan Presiden konfederasi tersebut serta beberapa jawatan lain seperti Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Piala Asia AFC edisi 2015 dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan AFC.
Selain memegang jawatan dalam badan induk bola sepak Asia itu, Sultan Abdullah juga pernah menerajui badan bola sepak Malaysia dimana baginda menjawat jawatan sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada tahun 2014 hingga 2017.
Baru-baru ini, baginda berkhidmat di Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan mempengerusikan Pasukan Petugas Urus Tadbir AFC yang bertanggungjawab untuk menyampaikan pembaharuan penting bagi membantu badan tersebut memenuhi objektif Visi dan Misi mengenai pelaksanaan inisiatif yang memastikan profesionalisme dan tadbir urus yang baik dalam konfederasi.