Kelab Bola Sepak Terengganu (TFC) mengejutkan peminat bola sepak tempatan apabilamengumumkan kemasukan penyerang berbisa dari Thailand, Adisak Kraisorn bagi memperkuat jentera serangan pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia musim depan.
Baca Juga:
- RASMI: Penyerang Prolifik Thailand, Adisak Kraisorn Sah Sertai Terengganu FC
- Wartawan Thailand Dedah Adisak Kraisorn Terima Tawaran Dari JDT
- Adisak Kraisorn Jual Durian Kualiti Premium Secara Online, Jenama ‘Durian by AK9’ Dijual Pada Harga RM120 Sebekas
Adisak bukanlah nama asing dalam kalangan peminat bola sepak Asia Tenggara kerana beliau merupakan tonggak utama skuad kebangsaan Thailand dan sering mewakili negaranya di pentas antarabangsa.
Pemain yang berusia 31 tahun ini telah menandatangani kontrak untuk bersama pasukan itu selama tempoh 2 tahun ( 1 +1 ). Beliau akan mengisi kuota pemain import ASEAN yang ditinggalkan oleh pemain Filipina, Manuel Ott.
Adisak memutuskan untuk berhijrah dari liga Thailand untuk mendapatkan cabaran baharu dan beliau melihatkan saingan Liga Malaysia adalah antara salah sebuah liga kompetitif di Asia Tenggara.
“Sebenarnya saya sudah lama mengikuti perkembangan Liga Super Malaysia, saya sentiasa melihat sorotan dan perlawanan penting membabitkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan juga TFC.
“Saya juga tahu TFC adalah pasukan yang mempunyai sejarah yang cukup hebat dalam Liga M, musim ini berjaya mara ke pentas final Piala FA dan menamatkan saingan Liga Super di tempat kedua, begitu juga dengan kelab penyokongnya yang sentiasa memenuhi stadium setiap kali pasukan ini beraksi.
“Jadi apabila mendapat tawaran, saya tidak menunggu lama untuk memberikan jawapan atas faktor kejayaan pasukan ini dalam Liga M, kemaraaan dalam Piala AFC musim depan serta keinginan saya untuk beraksi di luar Thailand,” katanya kepada Arena Metro.
Ketua jurulatih @FCTerengganu, Tomislav Steinbrückner percaya kehadiran penyerang import baharu, Adisak Kraisorn akan memberikan aura luar biasa kepada pasukan dalam memperkuatkan lagi jentera serangan pada musim depan.#LigaMalaysia2023
— Malaysian Football League (@MFL_MY) December 22, 2022
Sementara itu, Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbrückner percaya kehadiran Adisak Kraisorn akan memberikan aura luar biasa kepada pasukan dalam memperkuatkan lagi jentera serangan pada musim depan.
Secara peribadi, Steinbruckner sendiri telah membuat penilaian terhadap pemain dari kelab Muangthong United itu bagi memastikan pemilihan yang dibuat adalah tepat untuk meletakkan Terengganu di tahap cemerlang pada musim depan.
Namun, sudah pasti paling utama adalah untuk mencipta keserasian terbaik antara pemain-pemain terlebih dahulu memandangkan ini adalah kali pertama Adisak beraksi di pentas Liga Malaysia.
“Saya ada cara saya yang tersendiri untuk menilai dan mengenali seseorang pemain di mana saya bersama jurulatih lain juga turut sama berbincang mengenai pemain ini (Adisak Kraisorn).
“Saya lihat dia sememangnya seorang penyerang yang cukup bagus ketika di Thailand dan percaya dia boleh bermain dengan cara kami di Terengganu, jadi kami semua memutuskan untuk mengikat Adisak.
“Sudah tentu dia juga perlu bersedia dengan sebaiknya untuk menyesuaikan diri di sini dan jujurnya saya terkejut juga tengok banyak komen selepas pengumuman dibuat memberi sokongan positif dengan kehadirannya.
“Jadi, selepas ketiadaan beberapa pemain berkualiti seperti Faisal Abd Halim, Tchetche Kipre, Manuel Ott dan Kpah Sherman, saya cuba untuk menerapkan sesuatu yang lebih aggresif untuk pasukan ini dan mengharapkan terbaik”, jelasnya kepada MFL.