AC Milan terus menjadi mangsa kepada wakil England, Chelsea dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2022/23 apabila tewas 0-2 pada aksi keempat yang berlangsung di San Siro, sebentar tadi.
Baca Juga:
- Chelsea vs AC Milan: Kemenangan Sulung Diraih The Blues
- Thiago Silva Kembali Ke San Siro Dengan Penuh Emosi Namun Kekal Profesional
- Aubameyang Sertai Chelsea: “Urusan Saya Di EPL Masih Belum Selesai”
Hasrat pemain pertahanan AC Milan, Fikayo Tomori untuk membalas dendam berikutan kekalahan 0-3 pada aksi minggu lalu di Stamford Bridge tidak kesampaian apabila beliau diperintahkan keluar padang seawal minit ke-18.
Ia berikutan tindakan Tomori yang menarik Mason Mount dalam kawasan penalti ketika bekas rakan sepasukannya itu mahu melakukan percubaan telah menyebabkan pengadil dari Jerman, Daniel Siebert melayang kad merah buatnya sekali gus menghadiahkan sepakan penalti kepada Chelsea.
Jorginho yang mengambil sepakan tidak berdepan masalah untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Ciprian Tatarusanu bagi meletakkan skuad kendalian Graham Potter itu dihadapan pada minit ke-21.
Menentang lawan yang kekurangan seorang pemain digunakan sebaiknya oleh Chelsea untuk menguasai permainan dan kesempatan itu diambil Pierre-Emerick Aubameyang ketika permainan memasuki minit ke-34.
Berpunca daripada lorongan baik Mason Mount ke dalam kawasan penalti yang tidak mampu dihalang pemain pertahanan AC Milan, Aubameyang melakukan percubaan ‘placing’ untuk gol kedua perlawanan.
Ia merupakan gol ketiga yang dihasilkan oleh Aubameyang pada tiga perlawanan terakhir dilaluinya.
Pemain gantian Chelsea, Conor Gallagher hampir menambah jaringan buat pasukan pelawat pada minit ke-49 tetapi percubaannya ketika sudah pun berjaya melepasi Tatarusanu sekadar menemui jaring sisi pintu gol AC Milan.
Kuisan Aubameyang dalam kawasan penalti selepas menerima hantaran Matteo Kovacic pada minit ke-55 juga diselamatkan dengan baik oleh penjaga gol berusia 36 tahun itu.
Lebih menarik untuk diperkatakan, skuad kendalian Stefano Pioli itu hanya mampu menjelmakan satu percubaan tepat ke arah pintu gol Chelsea sepanjang perlawanan.
Keadaan yang sama ketika aksi pertama di London tempoh hari dengan jentera pertahanan diketuai Thiago Silva, Kalidou Koulibaly dan Trevoh Chalobah kelihatan cukup kental dan tenang ketika bertahan.
Kemenangan itu meletakkan Chelsea di tangga teratas kumpulan kumpulan E buat pertama kali dengan tujuh mata hasil dua kemenangan, satu keputusan seri dan satu kekalahan.
RB Salzburg di kedudukan kedua dengan enam mata selepas terikat 1-1 menentang Dinamo Zagreb manakala AC Milan yang mengumpul empat mata berada ditempat ketiga selepas mempunyai kelebihan defisit jaringan meskipun terikat mata dengan wakil Croatia itu.