Mohamed Salah, nama yang bukan lagi asing dalam pentas bolasepak Eropah. Kejayaan beliau membantu Liverpool memenangi UEFA Champions League 18/19 memberi gambaran betapa beruntungnya bumi Arab mempunyai pemain seperti beliau.
Dari Mesir sehinggalah Iraq, semuanya bangga dengan adanya wakil bumi Arab di pentas kejuaraan Eropah.
Untuk melihat sejarah pemain Arab di UEFA Champions League (UCL), kita harus kembali ke tahun 1986/87. Rabah Mustapha Madjer menjadi pemain Arab pertama menjulang Piala Eropah (kini UEFA Champions League) bersama FC Porto. Back-heel gol Rabah pada pentas Final menentang Bayern Munchen juga dinobatkan antara gol paling ikonik dalam sejarah kejohanan.
Selepas itu, bumi Arab mempunyai wakil di UCL antaranya Noureddine Naybet (Deportivo la Coruna), Mido (Ajax), Moustapha Hadji (Sporting CP), Sofianne Feghouli (Valencia & Galatasaray), Marroune Chamakh (Bordeoux & Arsenal), Mohamed Elneny (FC Basel), Fouzi Ghoulam (Napoli), Islam Slimani (Sporting & Leicester), Yacine Brahimi (Porto), Medhi Benatia (Bayern Munchen & Juventus) dan Hamza Younes (Ludogorets Razgrad). Kesemuanya adalah pemain Arab dari CAF (Konfederasi Bolasepak Afrika).
Memetik pandangan dari Dr Sadiq Abdullahi; Professor di Jabatan & Pembelajaran di Florida International University (FIU), kejayaan pemain Afrika bertitik tolak pada dua faktor iaitu psikologi dan persekitaran. Pemain Afrika sangat bermotivasi tinggi dan mempunyai mental yang kuat.
Mereka juga memanfaatkan segala peluang dan dibimbing agen dengan tepat. Kedua, persekitaran atau lebih kepada genetik mereka yang sangat berbakat semulajadi.
Jika dilihat sejarah pemain Arab dari AFC (Konfederasi Bolasepak Asia), Hussein Yaser (SC Braga) pernah menjaringkan gol (2) pada kelayakan 2007/08 UEFA Cup (Europa League) ketika menentang Hammarby IF.
Paling jauh mereka hanya bermain di UEL & kelayakan UCL. Tiada lagi pemain yang mampu layak ke peringkat kumpulan UCL, jauh sekali jaringkan gol.
Namun, musim 2019/20 menjanjikan kelainan. Ini kerana buat pertama kalinya pemain Arab dari AFC mempunyai wakil di saingan peringkat kumpulan UEFA Champions League. Pemain yang dimaksudkan adalah penyerang Bahrain, Abdulla Yusuf Helal dari kelab Slavia Praha. Berusia 26 tahun, karier bolasepaknya di Eropah baru masuk tahun kedua.
Yusuf dipancing kelab Czech First League, Bohemians 1905 pada jendela perpindahan musim 2018/19. Dengan ketinggian 194 cm, beliau sering digunakan sebagai target-man untuk memenangi bola tinggi dan mencipta peluang gol untuk pasukan. Dengan rekod baik, Yusuf tidak menunggu lama untuk kelab lebih besar, Slavia Praha mendapatkan khidmat beliau pada perpindahan bulan Januari.
Musim pertama di Slavia Praha memberi saingan yang sukar untuk Yusuf. Masih menunggu untuk mencetak gol pertama di saingan liga, namun kami yakin tidak lama untuk beliau menunggu.
Mungkin juga malam ini, nama Yusuf bakal tercatat sebagai pemain Arab Asia pertama menjaringkan gol di UCL?
Undian UCL 19/20 yang baru dilangsungkan memberi saingan cukup perit buat Slavia. Barcelona, Borussia Dortmund & Internazionale adalah kelab yang bakal mereka hadapi. Namun, ini lah peluang untuk Yusuf Helal, membawa nama Bahrain dan Arab Asia untuk beraksi di Nou Camp, Signal Iduna Park dan juga San Siro. Tiga stadium idaman pemain seluruh dunia untuk beraksi.
Abdulla Yusuf Helal, nama baru yang akan disebut-sebut pemain muda Teluk Arab (GCC) untuk mencapai kejayaan di Eropah. Tidak keterlaluan untuk katakan Yusuf bakal menjadi perintis untuk mereka berkelana di Eropah seperti Musa Al-Taamari, Hussein Yasser dan Akram Afif.
Baca artikel lain mengenai pemain asia lain di eropah.
Saksikan Video Padu Bagaimana Honda Keisuke ‘Merasuk’ Semangat Pemain Kebangsaan Kemboja