Empat pemain daripada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan seorang lagi pemain daripada bukan sekolah sukan terpilih untuk menjalani latihan bersama akademi kelab yang beraksi dalam saingan J1 League iaitu Cerezo Osaka yang akan bermula pada Ogos hadapan.
Lima pemain dipilih menerusi Asean Dreams Project 2019 yang dianjurkan oleh Cerezo Osaka, Yakult dan sebuah stesen Televisyen Osaka. Lima pemain tersebut adalah Raja Muhammad Haikarl Raja Muhammad Zahari dan Muhammad Danial Haiqal Mohd. Shaipol dari Akademi Mokhtar Dahari sementara Muhamad Afiq Norizan dari Sekolah Sukan Negeri Melaka, Muhammad Farizzudin Adham Batcha (Sekolah Sukan Negeri Selangor) dan Anas Nadawi Shaharudin (Sekolah Menengah Bandar Baru Bangi).
Presiden Cerezo, Hiroaki Morishima menegaskan program yang telah memasuki tahun kedua pelaksanannya itu bertujuan untuk mencungkil bakat yang dimiliki oleh pemain muda negara dan tidak mustahil pemain yang dipilih akan mencuri perhatian pencari bakat di Jepun jika menampilkan prestasi terbaik pada Ogos nanti.
“Terdapat permintaan dari pemain-pemain Malaysia yang telah beraksi tahun lalu dan menyebabkan ia diteruskan untuk edisi kedua.
“Pemain yang telah tamat menjalani program ini mampu pergi lebih jauh kerana mereka boleh beraksi di Liga Profesional Jepun, bukan sekadar di Cerezo Osaka sahaja memandangkan ada pencarian bakat yang sering mencari bakat terbaik dari Malaysia,” katanya menurut laporan Kosmo.
Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada melahirkan rasa gembira dan berharap pemain yang dipilih mampu untuk menarik perhatian kelab yang beraksi dalam saingan J League.
“Doa kami sentiasa mengiringi pemain yang terpilih agar mereka dapat mencapai cita-cita untuk menjadi pemain profesional pada masa hadapan,” kata Hamada.