Penyerang Tottenham Hotspur, Son Heung-min menjadi nama penting dalam skuad boal sepak Sukan Asia 2018 Korea Selatan selepas pengumuman rasmi 20 pemain dibuat semalam.
Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) dalam pengumuman itu menyenaraikan Son Heung-min sebagai salah seorang pemain ‘wild-card’ mereka dan Son yang baru sahaja berusia 26 tahun akan membuat penampilan pertamanya dalam kejohanan sukan terbesar di Asia.
Pertandingan bola sepak di Sukan Asia 2018 yang akan berlangsung pada 14 Ogos sehingga 1 September 2018, akan disertai oleh pemain-pemain yang dilahirkan pada atau selepas Januari 1995, tetapi 3 orang pemain yang berusia lebih dari 23 tahun dibenarkan untuk berada dalam senarai 20 pemain.
2 lagi pemain berusia lebih 23 tahun yang tersenarai adalah penjaga gol Piala Dunia 2018, Jo Hyeon-woo dan penyerang Gamba Osaka Hwang Ui-jo, masing-masing akan bersuai 27 dan 26 tahun bulan hadapan.
Selain Son dan Jo, 2 lagi pemain yang berada dalam senarai skuad kebangsaan Korea Selatan di Piala Dunia 2018,Lee Seung-woo yang beraksi untuk Hellas Verona dan Hwang Hee-chan yang kini bersama Red Bull Salzburg turut berada dalam senarai ke Sukan Asia dibawah kendalian Kim Hak-bum.
Paik Seung-ho dari Girona FC dan Lee Kang-in dari Valencia, kedua-duanya adalah pemain yang diramal berada dalam skuad Sukan Asia, tetapi terpaksa diketepikan akibat kecederaan dan tidak mendapat kebenaran dari pihak Valencia.
Dari semua 20 pemain yang tersenarai itu, 6 daripadanya pernah membarisi skuad senior Korea Selatan termasuk Kim Min-jae, pertahanan tengah yang digugurkan dari skuad Korea Selatan ke Piala Dunia akibat kecederaan.
Korea Selatan diundi bersama Malaysia dalam kumpulan E bersama-sama Kyrgyzstan dan Bahrain.