Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) mengesyaki Selangor FC (SFC) seolah-olah mendapat ‘bantuan istimewa’ daripada orang atasan untuk mengutip mata maksimum dalam setiap perlawanan Liga Super.

Artikel Berkaitan:

Menerusi komen di laman Instagram sebuah portal bola sepak, TMJ berkata mengenai kelebihan yang dimiliki oleh Selangor apabila skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu mengharungi 4 perlawanan pada bulan Ramadan di halaman sendiri berturut-turut.

“Nampak macam dah dirancang dengan orang atasan. Maklumlah FAM, MFL, Jawatankuasa Pengadil semua orang mana? Semua perlawanan dari mula pun lawan pasukan baru dinaikkan dan pasukan tercorot liga.

“Macam ada yang nak membantu untuk dapat mata maksimum dan momentum. Bulan puasa tiada perjalanan keluar, semua main tempat sendiri dan di Lembah Klang.

“Macam sudah dirancang dari awal untuk membantu misi tertentu selepas tujuh tahun gagal semenjak Izhar Moslim belakang tadbir,” tulis TMJ.

Berdasarkan jadual, Selangor memulakan aksi pada bulan Ramadan berdepan KL City di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Jumaat lalu sebelum menentang Negeri Sembilan di laman sendiri.

Mereka berjaya menewaskan dua pasukan tersebut dan kini berada di kedudukan ketiga Liga Super dengan 16 mata hasil 5 kemenangan dan satu keputusan seri.

Selepas ini, skuad Gergasi Merah itu akan menghadapi 3 perlawanan di halaman sendiri menentang TRW Kelantan (9 April) dan Terengganu (18 April) termasuk aksi pusingan kedua Piala FA menentang Sri Pahang pada 15 April.

Beraksi di halaman sendiri kebiasaannya akan memberi kelebihan kepada setiap pasukan tuan rumah kerana mereka turut mendapatkan sokongan padu daripada penyokong sekaligus memberikan semangat tambahan kepada pemain.