Skuad Gergasi Merah berjaya menempah tiket ke Final TM Piala Malaysia 2022 apabila menewaskan Terengganu FC (TFC) dengan aggregat 3-2 di peringkat separuh akhir.

Artikel Berkaitan:

Dalam perlawanan ini, Terengganu melakukan sedikit rombakan di bahagian tengah apabila menurunkan pemain import, Petrus Shitembi berganding dengan Manuel Ott dan Habib Haroon manakala Selangor kembali diperkuatkan oleh pemain pertahanan Jordan, Yazan Al Arab.

Skuad kendalian Nafuzi Zain itu jelas bersemangat untuk memadam defisit 2 gol Selangor apabila mendapat sokongan padu daripada 50,000 penyokong yang memenuhi setiap penjuru Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sejak awal permainan, kedua-dua pasukan bermain berhati-hati untuk mengelakkan kesilapan mudah namun Terengganu terlebih dahulu membuka akaun jaringan pada minit ke 36 menerusi Kipre Tchetche yang menolak masuk bola melepasi garisan gol dalam situasi kelam kabut.

Jaringan tersebut turut meningkatkan semangat tuan rumah untuk terus mengandakan asakan mencari satu lagi gol. Namun, Selangor kental bertahan sekaligus menyaksikan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, Terengganu bangkit dengan lebih garang dan kerap kali memberikan ancaman berbahaya menerusi gandingan Faisal Halim dan Kipre Tchetche.

Pada minit ke 73, Selangor nyaris menjaringkan gol penyamaan tetapi pemain pertahanan import Terengganu, Pape Diakite sempat mengeluarkan bola daripada kawasan gawang.

Bagaimanapun, Selangor terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain pada minit ke 87 selepas Yazan Al Arab diperintah keluar padang apabila mengutip kad kuning kedua. Ia berpunca daripada kekasarannya yang dilakukan terhadap Kipre Tchetche

Kelebihan itu gagal dimanfaatkan oleh Terengganu apabila gagal menambah jaringan sehingga minit akhir perlawanan sekaligus memastikan tiket ke final TM Piala Malaysia 2022 menjadi milik Selangor.

Mereka akan bertemu juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 26 November di Stadium Nasional Bukit Jalil. Ia juga merupakan perlawanan yang penting kerana juara Piala Malaysia musim ini akan mendapat tiket beraksi di Piala AFC tahun depan.