Johor Darul Ta’zim (JDT) terus menunjukkan penguasaan dalam saingan Liga Malaysia apabila dinobatkan sebagai Juara Piala FA 2022 selepas menewaskan Terengganu, 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.
Baca Juga:
- KL City Lakar Sejarah Mara Ke Final Antara Zon Piala AFC 2022
- Slot AFC Cup Akan Diberikan Kepada Juara Piala FA Dan Naib Juara Liga Super Mulai 2021
- MFL: Naib Juara Liga Super Dan Juara TM Piala Malaysia Akan Terima Slot Ke Kejohanan AFC Cup 2022
- Piala FA 2022: Terengganu Tak Berupaya Halang Pesta JDT
Ini adalah kejuaraan kedua mereka dalam saingan Piala FA setelah melakukannya pada tahun 2016. Kemenangan tersebut juga melengkapkan trofi yang ke 20 dimiliki oleh JDT sejak tahun 2013.
Seperti yang kita semua dimaklumkan, Liga Malaysia telah diberikan slot 1+2 oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sehingga tahun 2023. Ia terdiri daripada satu slot automatik ke AFC Champions League (ACL) dan dua slot ke Piala AFC (AFC Cup).
Pemberian slot dibuat setelah mengambil kira kedudukan ranking MA terakhir pada bulan November 2019 sebagai asas menentukan 10 MA terbaik bagi kedua-dua bahagian zon Asia Barat dan Asia Timur.
Malaysian Football League (MFL) sebelum ini mengesahkan pemenang Piala FA untuk musim 2022 akan diberikan slot ke Piala AFC (AFC Cup) 2023. Justeru itu, slot tersebut kini menjadi milik JDT walaupun saingan Liga Super 2022 belum berakhir.
Bagaimanapun, slot Piala AFC akan diberikan kepada pasukan yang menghuni tempat ketiga Liga Super 2022 jika JDT dinobatkan sebagai Juara Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut.
Satu lagi slot Piala AFC 2023 menjadi milik naib juara Liga Super musim ini manakala JDT bakal membuat penampilan kali keempat di AFC Champions League (ACL) jika mereka berjaya meraih kejuaraan Liga Super.
Berdasarkan kedudukan terkini Liga Super, Harimau Selatan dijangka tidak mempunyai masalah untuk bermain ‘bunga api’ pada penghujung musim ini apabila masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 16 perlawanan yang diharungi.
Mereka kini mengutip 42 mata dan berada 6 mata di depan mengatasi pencabar terdekat, Sabah (36 mata) dan Negeri Sembilan (35 mata).
📊 KEDUDUKAN – LS18#LigaSuper2022 pic.twitter.com/egJiIgFGIf
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 10, 2022
Walaupun tewas di Final Piala FA, Terengganu juga masih berpeluang rebut slot ke Piala AFC 2023 menerusi tempat ketiga Liga Super dan mereka yang kini mengutip 29 mata perlu bersaing dengan pasukan Sabah serta Negeri Sembilan.
Kedah Darul Aman (KDA FC) dan KL City juga mampu gugat kedudukan mereka jika konsisten mengutip 3 mata dalam baki perlawanan yang akan datang.
Saingan Liga Super musim ini hanya berbaki 5 perlawanan lagi, pasukan manakah yang berjaya raih slot ke saingan Piala AFC tahun depan? Sama-sama kita saksikan.