Perak Bison semakin menghampiri kejuaraan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2023 apabila menundukkan Sabah Mountaineers pada aksi ke-17 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.
Baca Juga:
- STL 2023: Perak Bison Tekad Teruskan Momentum Cemerlang Buru Kejuaraan
- STL 2023: Perak Bison Rampas Kedudukan Teratas Selepas Tundukkan KL Thunder
- STL 2023: Perak Bison Cemerlang Atasi Penang Black Panthers
Kemenangan ke-13 yang dilakarkan itu kembali meletakkan Perak Bison ditangga teratas meskipun terikat 26 mata dengan KL Thunder berbekalkan kelebihan set menang.
Manakala, Penang Black Panthers pula berada di tangga ketiga dengan 24 mata.
Anak buah Suhairi Abd Aziz itu hanya memerlukan kemenangan ke atas KPT MASUM Knight yang berlangsung petang esok untuk mengesahkan kejuaraan STL 2023 menjadi milik Perak Bison.
Kembali menurunkan Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Azwawi yang sebelum ini bersama skuad kebangsaan di Piala Raja Thai untuk digandingkan bersama tekong, Jakritt Tinbangbon, Perak Bison jelas berada di kelas tersendiri untuk berdepan Worapat (tekong) Muhaimi Che Bongsu (perejam) dan Daut Amba (pengumpan).
Ia jelas dibuktikan apabila mereka memiliki kelebihan 13-1 pada set pertama yang nyata memudahkan laluan Perak Bison untuk menang set pertama 21-12.
Kecemerlangan itu diteruskan pada set kedua apabila trio tersebut tidak terlalu ditekan lawan hingga membolehkan mereka mengesahkan kemenangan 21-8 untuk menceriakan penyokong setia Perak Bison.
Sebelum itu pada aksi terdahulu, Negeri Sembilan Antlers berjaya menundukkan Bomba Fighters 24-22, 21-9 manakala dua lagi aksi bakal berlangsung sebentar lagi menemukan Johor Tigris dan KPT MASUM Knight serta Penang Black Panthers dan Melaka Titans.