Skuad Harimau Malaya bakal menjalani latihan pusat bermula 18 Mac ini dengan menggunakan fasiliti milik Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai persediaan menghadapi dua perlawanan antarabangsa menentang Turkmenistan dan Hong Kong.

Artikel Berkaitan:

Perkara ini dikongsikan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman dimana beliau berkata ketua jurulatih, Kim Pan-gon akan mengeluarkan senarai nama dalam masa terdekat ini bagi memastikan pemain boleh melakukan persiapan awal.

Harimau Malaya JDT
Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

“Pemain Harimau Malaya akan mula menyertai latihan pada 18 Mac ini dengan mereka akan berkampung iaitu menggunakan sepenuhnya kemudahan di JDT.

“Kita mahu memastikan skuad kebangsaan meraih keputusan positif sekali gus mahu manfaat kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk pasukan dapat melakukan persiapan rapi,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Sebelum ini, Pan-gon mendedahkan Turkmenistan mahu membalas dendam di atas kekalahan di Stadium Nasional Bukit Jalil ketika aksi kelayakan Piala Asia 2024 tahun lalu.

Pan-gon menilai aksi di SSI nanti bakal digunakan dengan sebaiknya dimana sasaran yang beliau letakkan ialah mengutip mata daripada dua perlawanan terbabit untuk menaikkan ranking pasukan negara.

Harimau Malaya JDT
Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM(

“Pada bulan Mac nanti kita telah menjemput Turkmenistan dan Hong Kong untuk perlawanan persahabatan. Turkmenistan berada di atas kita dan mereka adalah satu pasukan yang baik. Saya dengar mereka mahu membalas dendam ke atas pasukan negara.

“Mereka kecewa kerana tewas di tangan kita sewaktu di Bukit Jalil. Oleh itu, kami akan terima cabaran tersebut. Bagi Hong Kong pula, mereka memberitahu saya sewaktu saya bercuti di sana yang mereka boleh menewaskan Malaysia ketika perlawanan persahabatan pada Jun lalu.

“Jurulatih Hong Kong mengatakan ketika itu mereka tidak membawa pemain terbaik. Kali ini, mereka bakal membawa barisan pemain terbaik. Saya rasa dua perlawanan ini akan menjadi satu aksi yang kompetitif dan ini bagus untuk kami,” kata Kim Pan-gon.