Pemain skuad kebangsaan, Safawi Rasid dikatakan bakal beraksi dalam saingan Liga Thailand (Thai League 1) bersama kelab Ratchaburi FC menurut laporan daripada portal bola sepak dari negara itu.

Baca Juga:

Pengerusi Ratchaburi, Tanawat Nitikanchana mengumumkan kelab itu telah menandatangani Safawi dari Johor Darul Ta’zim (JDT) pada jendela perpindahan kedua Liga Thailand musim 2022/23.

Difahamkan Safawi akan mengisi kuota pemain import ASEAN pasukan itu bersama dua pemain Myanmar, Myo Min Latt dan Hein Phyo Win.

“Setakat ini, ia sudah selesai. Pemain itu (Safawi) akan menyertai kami selepas tamat tugasannya bersama skuad kebangsaan dan saya berharap kehadirannya dapat menambah jumlah penyokong kelab,” katanya.

Pemain yang berusia 25 tahun itu  pernah beraksi menentang Ratchaburi ketika mewakili JDT dalam saingan AFC Champions League (ACL) pada musim 2021.

Beliau juga pernah membantu Malaysia menewaskan Thailand 1-0 ketika Kelayakan Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Dubai, UAE.

Safawi yang baru sahaja melangsungkan perkahwinannya bersama seorang pelakon, Syifa Melvin dijangka akan menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya pada 5 Disember ini.

Kem latihan tersebut adalah sebahagian daripada persiapan menghadapi saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang bakal berlangsung pada penghujung bulan ini.

Selepas tamat Piala AFF, peminat bola sepak tempatan mungkin akan menyaksikan kelibat Safawi dalam saingan Liga Thailand yang kembali bersambung pada 21 Januari 2023.

Sebelum ini, ada beberapa pemain dari Malaysia yang pernah beraksi dalam saingan Thai League 1 antaranya Shahrel Fikri (Nakhon Ratchasima), Norshahrul Idlan Talaha (BG Pathum United) serta Mohamadou Sumareh dan Dominic Tan (Police Tero).

Kini, pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi turut berada dalam saingan Thai League 1 bersama pasukan Khon Kaen United.

Berdasarkan kedudukan terkini, Ratchaburi FC berada di tangga ketiga Thai League 1 dengan 29 mata selepas mengharungi 15 perlawanan.