Pemain tengah skuad kebangsaan, Brendan Gan bersedia sekiranya khidmatnya diperlukan di posisi pertahanan tengah pada perlawanan kedua kumpulan B saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil pada esok.
Baca Juga:
- Dion Cools Bakal Beraksi Di Liga Thailand?
- Highlight Malaysia vs Myanmar
- Piala AFF 2022: 15,000 Tiket Aksi Malaysia Menentang Laos Sudah Terjual
Brendan menegaskan perkara ini pada sidang media sebelum perlawanan dimana pemain itu menyifatkan beliau bersedia sekiranya diturunkan dalam posisi yang berbeza pada aksi bertemu Laos.
“Saya jenis pemain sekiranya ketua jurulatih mahu saya beraksi sebagai penjaga gol, saya akan galas tugas tersebut. Di posisi mana saya akan beraksi nanti tidak penting. Siapa yang bermain nanti, staf kejurulatihan telah melakukan banyak kajian tentang semua pemain dan mereka tahu kemampuan pemain.
“Jika ketua jurulatih dan staf lain beritahu kami yang kami boleh menjalankan tugas dengan baik di beberapa posisi, kami ada keyakinan penuh bahawa kami mampu untuk menjalankan tanggungjawab kerana mereka telah membuat kajian tentang semua pemain. Bukan hanya 23 pemain, tetapi lebih 300 pemain yang beraksi di liga. Mereka tahu kemampuan semua pemain,” kata Brendan Gan.
Bagi ketua jurulatih pasukan, Kim Pan-gon, beliau menegaskan ketika ini pemainnya sedang fokus untuk membuat recovery selepas pulang dari Myanmar dan pemain yang mengalami kecederaan seperti Khuzaimi Piee telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
“Kami sedang menunggu laporan perubatan mengenai pemain yang cedera dan saya harap semua pemain tidak mengalami kecederaan yang serius dan boleh beraksi.
“Saingan Piala AFF mempunyai jadual yang padat dan ini membuatkan pemain berada dalam situasi yang sukar. Tetapi semua pemain bersikap profesional. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan dan saya harap kita dapat memberikan persembahan terbaik dan mencatat kemenangan,” kata Pan-gon.
Ketika ditanya mengenai situasi Khuzaimi, Pan-gon enggan mengulas lanjut dimana jurulatih dari Korea Selatan itu menegaskan beliau menunggu laporan dari pasukan perubatan mengenai situasi Khuzaimi dan kemudiannya beliau boleh membuat keputusan lanjut.
Malaysia berjaya memperoleh kemenangan pertama dalam saingan edisi kali ini dengan menewaskan Myanmar menerusi jaringan tunggal Faisal Halim.