Korea Selatan kini menjadi satu-satunya wakil dari Asia yang berjaya melangkah ke peringkat suku akhir apabila menewaskan pasukan di ranking 7 dunia, Argentina menerusi penentuan penalti ‘Shoot Out’ 3-2 semalam.

Baca Juga:

Pemenang terpaksa ditentukan menerusi situasi tersebut selepas aksi 60 minit permainan berakhir dengan kedudukan 5-5 dalam perlawanan yang cukup dramatik.

Argentina yang merupakan juara hoki Amerika Selatan terlebih dahulu membuka akaun jaringan pada minit ke-8 menerusi Maico Casella. Penjaga gol Korea, Kim Jaehyeon juga menjadi wira apabila menafikan dua percubaan berbahaya Argentina.

Memasuki suku kedua perlawaan, Korea bangkit mengandakan asakan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke 18 menerusi jaringan padang Kim Sunghyun yang tidak dikawal. Dua minit kemudian, mereka menambah satu lagi gol menerusi pukulan penalti sudut yang disempurnakan oleh Jeong Junwoo.

Bagaimanapun, jaringan itu tidak mematahkan semangat Argentina yang terus melancarkan serangan bertali arus sehingga berjaya menambah dua gol menerusi Nicolas Keenan (gol padang) dan Della Torre (gol penalti sudut).

Keputusan 3-2 kekal sehingga tamat separuh masa pertama. Namun begitu, Korea memasuki separuh masa kedua dengan strategi berbeza dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi penalti sudut Jang Jonghyun.

Perlawanan menjadi lebih rancak apabila Argentina kembali menjaringkan dua gol pada minit ke 41 dan 47 namun ia masih belum cukup untuk mematahkan semangat Korea Selatan yang melakukan kebangkitan dramatik sehingga menyamakan kedudukan kepada 5-5.

Kegagalan Nicolas Keenan dan Maico Casella menyempurnakan penalti ‘shoot-out’ menyebabkan kekalahan Argentina sekaligus menyaksikan Korea Selatan cipta sejarah mara ke suku akhir Piala Dunia Hoki Lelaki buat kali pertama sejak format baharu diperkenalkan pada tahun 2018.

Keputusan itu juga memastikan Korea Selatan merampas kedudukan Malaysia untuk berada di ranking ke-9 dunia menerusi kemaskini jumlah mata ranking yang dilakukan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Hasil kemenangan ke atas Argentina, Korea Selatan telah mengutip 69.80 mata dan kini telah mengumpulkan 1963.25 mata secara keseluruhan mengatasi Malaysia yang berada di ranking 10 dunia dengan 1923.99 mata.

Kedudukan ranking setiap pasukan belum kekal dan boleh berubah pada bila-bila masa selepas tamat saingan Piala Dunia Hoki 2023.