Pengurus Crystal Palace Oliver Glasner ingin memastikan “pengakhiran sempurna” kepada penguasaannya selama dua tahun yang berjaya dengan kemenangan ke atas Rayo Vallecano dalam perlawanan akhir Liga Persidangan Eropah atau Europa Conference League di Leipzig, Jerman pada hari Rabu.

Pengurus Austria itu akan berada di bangku simpanan Palace buat kali terakhir setelah memimpin era kejayaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Selhurst Park sejak tiba pada tahun 2024.

Beliau membawa kelab itu meraih trofi pertama dalam sejarah 120 tahun mereka dengan memenangi Piala FA dalam kempen penuh pertamanya.

Selepas menewaskan Liverpool dalam Perisai Komuniti untuk memulakan musim ini, Glasner boleh mengakhiri khidmatnya dengan membantu kelab London selatan itu meraih gelaran Eropah sulung.

Kemenangan itu juga akan membawa Palace ke Liga Europa (Europa League) musim depan, setahun selepas hak mereka untuk mengambil bahagian dalam pertandingan itu dengan memenangi Piala FA dilucutkan oleh UEFA disebabkan peraturan pemilikan berbilang kelab.

“Pengakhiran yang sempurna”

Pengurus berusia 51 tahun itu mengumumkan pada Januari bahawa beliau akan berundur apabila kontraknya tamat pada akhir kempen, dalam apa yang kelihatan sebagai bantahan terhadap dasar perpindahan kelab itu.

Pengunduran itu mengikut corak yang sama dalam kerjaya Glasner yang berlaku di kelab-kelab Bundesliga Wolfsburg dan Eintracht Frankfurt.

Kejayaan mendadak diikuti dengan perselisihan faham dengan bos kelab dan pengunduran diri yang pantas.

Walaupun melalui rentetan 12 perlawanan tanpa kemenangan sehingga Februari, Palace menolak desakan untuk memecat Glasner.

Walaupun sentimen penyokong beralih menentang warga Austria itu — yang tidak dibantu oleh desakannya kepada peminat untuk “kekal rendah diri. Jangan lupa asal usul anda” — Pengerusi Palace, Steve Parish, tetap menaruh kepercayaan.

Glasner telah membalas budi Parish dan Palace dengan membawa kelab itu ke perlawanan akhir Eropah yang pertama.

Setelah membimbing Frankfurt meraih kejuaraan Liga Europa pada 2022 dan mara ke final Piala Jerman setahun kemudian, Glasner dilihat amat mahir dalam bola sepak kalah mati.

Bercakap dengan UEFA pada Isnin, Glasner berkata kemenangan ke atas Rayo akan memberikan pengakhirannya di Palace satu pengakhiran seperti kisah dongeng.

“Saya akan sentiasa berasa gagal jika pasukan itu merosot selepas pengumumannya, kerana saya memberitahu mereka, ‘anda tidak perlu bermain untuk seorang pengurus’…”

“Ia akan menjadi pengakhiran yang sempurna. Apabila anda menonton filem, apabila anda membaca buku, anda sentiasa berharap akan ada pengakhiran yang gembira.

“Mengakhiri perjalanan lebih dua tahun ini dengan satu lagi trofi, dengan trofi Eropah pertama dalam sejarah Crystal Palace, itu pasti menakjubkan.”

Rayo layak berada di tempat mereka

Rayo menamatkan musim La Liga satu mata di belakang Getafe, yang mengatasi mereka dalam perebutan kelayakan Liga Persidangan Eropah.

Namun, Rayo boleh melakukan lebih baik daripada jiran mereka di Madrid dengan menewaskan Palace, untuk mara ke Liga Europa buat kali kedua sahaja.

Merkea juga beraksi di final Eropah buat julung kali selepas mengatasi Strasbourg yang lebih berkemampuan dari segi sumber — sebahagian daripada kumpulan berbilang kelab BlueCo bersama Chelsea — untuk menempah tiket mereka ke Leipzig.

Sementara pasukan bukan pilihan Rayo mengalahkan Strasbourg dalam kedua-dua perlawanan, Palace tewas 2-1 kepada pasukan dari Ligue 1 itu dalam peringkat kumpulan.

“Kesemua empat pasukan yang beraksi di separuh akhir layak bermain di final kerana mereka telah beraksi dengan cemerlang dalam pertandingan itu, dan Vallecano tidak terkecuali,” kata Glasner.

“(Rayo) sangat pantas, bermain secara transisi, dengan pemain sayap yang pantas, sentiasa mampu menjaringkan gol.

“Mereka tidak banyak bolos,” tambah beliau.