Skuad negara memulakan kempen Kejuaraan Futsal AFF 2022 dengan nota kemenangan apabila berjaya menundukkan Kemboja 7-6 pada aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Hua Mark, Bangkok sebentar tadi.
Kemenangan sulung tersebut bagaimanapun tidak hadir dengan mudah selepas pasukan lawan memberikan saingan sengit dalam usaha untuk memerangkap skuad negara.
Skuad kendalian Chiew Chun Yong itu bermula dengan cukup baik selepas kuisan pemain berpengalaman, Saiful Nizam Mohd Ali kawasan D lawan gagal dikeluarkan dengan baik Ros Sichamroeun untuk meletakkan skuad negara di hadapan.
Aksi selepas itu semakin menarik dengan kedua-dua pasukan saling kejar-mengejar jaringan bermula dengan Kemboja menyamakan kedudukan pada minit ketujuh menerusi Orkchan Sereyvong.
Dua minit kemudian, Khairul Effendy Bahrin kembali menggembirakan kem negara berikutan jaringan dihasilkannya susulan gerakan menarik yang sekali gus menewaskan penjaga gol Kemboja, Noun Veasna.
Serangan balas pantas dilancarkan barisan pemain Kemboja jelas menjadi masalah buat skuad negara apabila gerakan dimulakan Ros Sirotha memberikan ruang buat Ros Sichamroeun kembali menyamakan kedudukan.
Jaringan tersebut jelas meningkatkan moral Kemboja yang kemudiannya memperolehi jaringan ketiga menerusi Diamant Prum berselang seminit kemudian.
Saiful Nizam memadam kelebihan dimiliki pasukan lawan pada minit-minit akhir babak pertama apabila beliau dengan tenang mengawal bola dengan baik dan kemudiannya menyudahkan peluang untuk melangkah masuk ke bilik persalinan dengan 3-3.
Aksi di babak kedua turut memperlihatkan kedua-dua pasukan bernafsu jaringan dengan Abu Haniffa Hassan berjaya mendapatkan jaringan keempat selepas beliau dengan tenang melakukan percubaan setelah menerima umpanan daripada Azri Rahman pada minit ke-24.
Seminit kemudian, Orkchan yang mendapat penguasaan bola di kawasan skuad negara dengan lincah melepasi kawalan Azri dan kemudiannya melepaskan rembatan untuk menewaskan penjaga gol, Azrul Hadee Mohd Taufik.
Tidak mahu terus berada dalam tekanan, skuad negara menambah dua lagi jaringan menerusi gol sendiri, Ros Sichamroeun serta Abu Haniffa menambah koleksi jaringannya untuk menjarakkan kedudukan.
Kelalaian sekali lagi menjadi masalah terbesar buat skuad negara apabila membenarkan Tong Chanmony menolak masuk dengan mudah bola hasil hantaran lintang cantik dilakukan Sichamroeun.
Khairul Effendy kembali memberikan kelebihan dua jaringan buat skuad negara selepas gerakan lincahnya disudahkan dengan rembatan padu untuk menewaskan Veasna.
Anak buah Chetch Chanrachana masih mampu mendapatkan satu lagi jaringan menerusi ketenangan Lun Sothydarotyh tetapi gol tersebut tidak mampu untuk menghalang kemenangan pertama buat skuad futsal Malaysia.