Hasrat untuk melihat Malaysia mara dengan lebih jauh dalam acara berpasukan badminton lelaki dalam Sukan Asia (Asian Games) 2022 tidak kesampaian apabila tunduk 1-3 kepada Korea Selatan di peringkat 16, sebentar tadi.

Artikel Berkaitan:

Pemain negara seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana kegagalan mengambil kesempatan beraksi menentang lawan yang jauh dibelakang berdasarkan ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Ia jelas dibuktikan selepas sandaran utama acara perseorangan, Lee Zii Jia tewas kepada pemain ranking ke-47 dunia, Jeon Hyeok Jin 14-21, 21-14, 18-21.

Kesilapan sendiri yang sering kali menjadi masalah buat Zii Jia turut menjadi punca beliau gagal untuk meraih kemenangan ketiga berturut-turut berdepan lawan tersebut.

Gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik bagaimanapun kembali memberikan sekelumit harapan buat skuad negara apabila mereka mempamerkan aksi cemerlang bagi menewaskan juara dunia, Kang Min-Hyuk-Seo Seung Jae dengan ‘straight set’ 21-17, 21-9.

Ketika kedudukan sudah terikat, Ng Tze Yong yang diletakkan secara perseorangan kedua kelihatan amat bergelut untuk mengambil tanggungjawab tersebut.

Keadaan itu jelas menghukum dirinya yang gagal mempamerkan aksi terbaik hingga tewas 11-21, 16-21 ditangan Lee Yun Gyu (ranking ke-119 dunia).

Ketika harapan diletakkan di bahu Ong Yew Sin-Teo Ee Yi untuk mengheret perlawanan ke aksi kelima, mereka bagaimanapun tumpas kepada Kim Won Ho-Na Sung Seung 16-21, 18-21.

Kekalahan¬† 1-3 itu menyaksikan perjuangan skuad berpasukan Malaysia dalam saingan berpasukan sudah pun berakhir manakala Korea Selatan pula akan menanti cabaran Indonesia yang mendapat ‘bye’ pada peringkat 16.