Menjelang Piala Dunia 2034, Arab Saudi Dilihat Cuba Tarik Pelancong L*GBTQ Melalui Pelayaran Khas
Menjelang kejohanan Piala Dunia 2034 di Arab Saudi, terdapat tanda-tanda bahawa pemerintahan beraja Teluk itu sedang cuba meyakinkan pengunjung L*GBTQ apabila sebuah pelayaran pelancongan ‘queer’ dijadualkan tiba di bandar raya Laut Merah, Jeddah pada tahun depan.
Kerajaan ultra-konservatif itu, yang merupakan tempat lahirnya Islam, sejak beberapa tahun kebelakangan ini cuba melembutkan imejnya melalui pelbagai pembaharuan sosial, termasuk membenarkan wanita memandu, memperkenalkan semula pawagam dan mengalu-alukan kedatangan pelancong bukan Islam.
Di bawah pimpinan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, pemerintah de facto Arab Saudi, pengaruh golongan ulama semakin berkurangan manakala polis moral yang dahulunya digeruni kini tidak lagi memainkan peranan seperti sebelum ini.
Walaupun hubungan sejenis masih kekal sebagai satu jenayah, pihak berkuasa dilihat memperlahankan retorik mereka dalam usaha menjadikan negara itu sebagai destinasi pelancongan bertaraf global.
Sebagai antara simbol perubahan tersebut, syarikat pelancongan berpangkalan di Amerika Syarikat yang memfokuskan kepada komuniti L*GBTQ, VACAYA, mengumumkan pelayaran “Arabian Nights” pada musim bunga 2027 dari Jeddah ke Ain Sokhna, Mesir. Pakej itu ditawarkan pada harga antara AS$9,900 hingga AS$57,000.
Menurut syarikat itu, selama beberapa dekad pelawat L*GBTQ hampir tidak pernah membayangkan untuk menjejakkan kaki ke Arab Saudi. Namun ketika negara itu bersiap sedia menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034, mereka mendakwa pelawat daripada semua identiti kini dialu-alukan selagi menghormati adat resam tempatan.
Semua Orang Dialu-alukan
Pihak berkuasa Arab Saudi tidak memberikan maklum balas kepada permintaan AFP untuk mengulas mengenai pelayaran tersebut.
Namun, pegawai kerajaan sebelum ini menegaskan bahawa semua orang dialu-alukan untuk menghadiri Piala Dunia 2034.
Malah, laman web pelancongan rasmi Visit Saudi turut memuatkan soalan lazim mengenai sama ada pelawat L*GBTQ dialu-alukan ke negara itu.
Jawapan yang diberikan berbunyi: “Semua orang dialu-alukan.”
“Kami meminta semua pelawat menghormati budaya, tradisi dan undang-undang kami. Pelawat juga tidak perlu mendedahkan maklumat peribadi mereka dan hak privasi mereka akan dihormati,” menurut kenyataan tersebut.
Seperti Qatar ketika menganjurkan Piala Dunia 2022, Arab Saudi turut berdepan kritikan berhubung dasar terhadap komuniti L*GBTQ selepas dipilih sebagai tuan rumah kejohanan pada penghujung 2024.
Di Qatar sebelum ini, beberapa penyokong dan seorang wartawan dilaporkan dihalang memasuki stadium kerana memakai pakaian berwarna pelangi.
Hubungan sejenis masih dianggap sebagai satu kesalahan yang boleh membawa hukuman mati di Arab Saudi berdasarkan tafsiran ketat undang-undang syariah yang menjadi asas sistem kehakimannya.
Menurut Amnesty International, Arab Saudi berada dalam kalangan negara yang mencatat jumlah hukuman mati tertinggi di dunia sepanjang tiga tahun lalu. Bagaimanapun, pertubuhan itu tidak merekodkan sebarang hukuman mati berkaitan komuniti L*GBTQ sejak kebelakangan ini.
Dua Wajah Arab Saudi
Aktivis Arab Saudi, Tariq Aziz, menyifatkan pelayaran tersebut sebagai contoh layanan berbeza yang diamalkan negara itu.
Menurut beliau, terdapat dua versi Arab Saudi iaitu satu yang lebih terbuka dan mesra kepada warga asing, manakala satu lagi jauh lebih konservatif terhadap rakyat tempatan dengan pelbagai kebebasan disekat atas nama norma dan tradisi agama.
Dalam masyarakat yang semakin berubah, terutama apabila sekitar 60 peratus penduduknya berusia bawah 35 tahun, sebahagian golongan elit Arab Saudi dilihat semakin berani melangkaui batas sosial yang sebelum ini ketat.
Pada festival muzik elektronik MDLBEAST Soundstorm tahun lalu, terdapat pengunjung lelaki yang memakai solekan atau baju jenis crop top tanpa menimbulkan sebarang kekecohan.
Di beberapa kawasan mewah di Riyadh pula, AFP melaporkan terdapat pasangan dalam hubungan sejenis yang tinggal bersama secara tertutup.
Namun begitu, tiada seorang pun yang sanggup berkongsi pengalaman secara terbuka kerana isu tersebut masih dianggap sangat sensitif dan tabu dalam masyarakat Arab Saudi.
Pemerhati berpendapat pihak berkuasa lazimnya tidak mengambil tindakan selagi hubungan sejenis dilakukan secara tertutup.
Bagaimanapun, menurut penyelidik Amnesty International bagi Asia Barat, Dana Ahmed, menyokong hak L*GBTQ secara terbuka di Arab Saudi masih boleh dianggap sebagai satu jenayah dan berisiko membawa kepada hukuman penjara.
Beliau berkata, kes-kes yang direkodkan sejak 2022 lebih berkait dengan kebebasan bersuara berbanding tindakan keras secara langsung terhadap komuniti L*GBTQ.
Aziz pula menegaskan bahawa golongan L*GBTQ di Arab Saudi memerlukan perlindungan undang-undang daripada diskriminasi, kebencian dan penganiayaan.
Di ruangan komen media sosial mengenai pelayaran tersebut, seorang individu yang mendakwa dirinya warga Arab Saudi menulis: “Biarkan mereka semua lemas.”