Chelsea terus bergelut di bawah kendalian Mauricio Pochettino selepas kekalahan terbaru di tangan Aston Villa, dan ini 5 masalah utama Chelsea pada masa ini.

Artikel Berkaitan:

1. Skuad terlalu besar dan mewah

Skuad Chelsea yang ada bukan sahaja terlalu besar, namun ianya dianggap skuad mewah. Mewah merujuk kepada ramai pemain bintang atau bernilai tinggi dibeli kelab itu.

Ianya cabaran Mauricio Pochettino untuk mengendalikan setiap pemain yang ada. Misalnya sebelum ini sudah ada persoalan bagaimana dengan peranan Mudryk yang tidak mendapat tempat dalam pasukan utama dalam beberapa perlawanan awal.

Kemudian terdapat juga persoalan, sama ada pemain seperti Caicedo sesuai dengan taktikal Pochettino?

Caicedo Chelsea
Kredit Foto: chelseafc.com

Ianya persoalan yang akan terus menjadi tekanan kepada Pochettino. Dan kemungkinan persoalan itu akan dicetuskan pemain pemain itu sendiri nanti.

2. Kecederaan

Pochettino menyatakan skuadnya bergelut dengan isu kecederaan dan kecergasan yang menyukarkannya mengumpulkan pasukan terbaiknya untuk satu masa.

Dia menjelaskan bahawa isu tentang pembentukan pasukan ini akan selesai jika semua pemain yang ada cergas atau isu kecederaan ini tidak parah seperti ada sekarang.

3. Pembentukan kesebelasan terbaik

Cabaran mengendalikan 2 isu di atas ini membawa kepada isu ketiga ini – dalam senarai masalah utama Chelsea. Isu kesebelasan utama terbaik mereka. Isu ini wujud sejak musim lalu lagi. Di mana Graham Potter gagal membentuk ‘best 11’ dalam skuad beliau.

Ianya perkara yang harus diselesaikan segera. Daripada sini baru pengurus akan mendapat kestabilan dan ada sedikit imuniti apabila persoalan daripada isu no.1 itu wujud, iaitu apa peranan pemain bintang ini dalam skuad – dan kenapa mereka tidak diturunkan.

Seterusnya ia juga akan membolehkan pengurus merancang untuk mengeluarkan pemain yang dia rasa tidak diperlukan dalam skuad

4. Pemimpin

Perkara ini terus menghantui Chelsea. Sebelum ini Pochettino melantik kapten muda iaitu Reece James untuk menjadi ketua pasukan baharu. Kemudian dia cedera.

Perlantikan James itu bukti Pochettino sedia untuk membentuk seorang pemimpin untuk jangka masa panjang kelab itu.

Dalam skuad Chelsea yang ada, mereka perlukan bukan sahaja ketua pasukan namun memerlukan kumpulan pemimpin. Cabaran untuk mengendalikan skuad yang sarat dengan bintang muda adalah mencari pemimpin dalam skuad.

Mereka ada Thiago Silva, dan ianya tidak cukup untuk menjadi pemimpin. Mereka perlukan kumpulan pemimpin seperti era Drogba, Lampard, Cech, dan Terry berada dalam satu pasukan dahulu.

5. Tekanan dan harapan

Apabila sudah berbelanja besar dan menolak untuk mendapatkan pemain seperti Dusan Vlahovic dan Joao Felix, maka tekanan untuk Pochettino membuktikan dia boleh berjaya dengan pemain dia mahukan.

Chelsea sudah berbelanja lebih £1 billion sejak diambil alih oleh Todd Boehly. Jadi tekanan dan harapan tinggi itu benar benar sudah dijangka. Orang akan menjangkakan skuad ini akan terus mendapatkan rentaknya.

Reputasi Pochettino sebelum ini yang dianggap bijak dalam membangunkan pemain muda juga dijadikan sandaran. Pochettino mengendalikan tekanan untuk memenangi trofi lebih daripada sekadar memulakan projek pembangunan untuk masa depan.

Pochettino sendiri sedar bahawa dia mulai dibandingkan dengan Thomas Tuchel. Di mana dia menegaskan bahawa, projek dia dengan Tuchel berbeza sama sekali.

“Tuchel tiba dengan projek yang sudah ada dibina di sini [dan dia hanya meneruskannya]. Sementara saya pula tiba dengan falsafah diubah dan memulakan projek baharu untuk masa hadapan,” tegas beliau.